PASIR GUDANG: Wanita yang mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam media sosial baru-baru ini didesak untuk membuat permohonan maaf secara rasmi dan terbuka berhubung tindakannya itu.
Presiden Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru, Jamaluddin Abdul Malik berkata, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap wanita terbabit agar perbuatan tersebut tidak lagi berulang pada masa depan.
“Tindakan wanita yang dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ itu tidak beradab kerana mempersenda golongan OKU, dia perlu tahu bukan kami minta dilahirkan seperti ini. Tindakan dia telah mengguris perasaan kami.
“Sehubungan itu kami mendesak wanita itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, secara rasmi dan bukannya melalui media sosial dan sambil duduk di dalam kereta sahaja,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap wanita itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Jamaluddin berkata, laporan polis dan juga desakan agar wanita berkenaan membuat permohonan maaf secara rasmi itu juga merupakan satu pengajaran.
“Kami berharap selepas ini tiada lagi mana-mana individu yang bersikap biadap dengan mempersenda golongan OKU, seharusnya perkara ini menjadi pengaratan kepada semua pihak.
“Selain itu, kami turut memohon Senator Dewan Negara mewakili OKU, Datuk Ras Adiba Mohd. Radzi untuk mengutarakan perkara ini kepada peringkat lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 31 saat yang memaparkan wanita berkenaan melakukan mimik muka dan perwatakan memperlekehkan golongan OKU.
Laporan polis ini merupakan yang pertama di Johor dan ketiga dibuat terhadap wanita berkenaan selepas laporan sama di Subang Jaya dan Kuala Terengganu, sebelum ini. – UTUSAN










