PORT DICKSON: Hutan Simpan Tanjung Tuan bakal diberi nafas baharu sebagai tarikan pelancongan baharu dengan konsep perkhemahan glamor (glamping).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perhilitan bagi merealisasikan perancangan tersebut.
“Produk ekopelancongan ini diharap dapat memberi peluang kepada pencinta alam sekitar untuk glamping di sini dan menikmati suasana Hutan Simpan Tanjung Tuan yang dikelilingi Selat Melaka.
“Perbincangan telah diadakah dengan pihak Jabatan Perhutanan perancangan ini tanpa melibatkan sebarang pembinaan struktur atau bangunan kekal.
“Insya-Allah, konsep glamping ini akan menjadi tarikan baharu pelancongan di Tanjung Tuan, Melaka ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Minggu Pemerhatian Burung Pemangsa 2022 di Tanjung Tuan di sini.
Yang hadir sama, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail.
Menurut Muhammad Jailani, kerajaan negeri Melaka berhasrat untuk menaik taraf galeri di Rumah Api Tanjung Tuan bagi menjaga khazanah yang telah disimpan di situ sejak tahun 1917.
“Naik taraf galeri di Rumah Api Tanjung Tuan itu nanti akan memberi peluang kepada pelancong melihat sendiri khazanah dan warisan yang sudah tersimpan lama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kira-kira 8,000 pengunjung hadir ke kawasan Tanjung Tuan sejak minggu lalu bagi melihat sendiri kehadiran burung pemangsa.
“Kehadiran pengunjung yang menunggu kedatangan burung pemangsa ini bersilih ganti dan kira-kira 8,000 orang mengunjungi kawasan Rumah Api Tanjung Tuan,” katanya. – UTUSAN