Penternak babi diminta tingkatkan biosekuriti ladang - Utusan Malaysia

Penternak babi diminta tingkatkan biosekuriti ladang

STEPHEN RUNDI UTOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Berikutan kes penyakit African Swine Fever (ASF) yang menular di beberapa ladang babi di Sarawak, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom mengingatkan semua penternak babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing.

Katanya, penternak hendaklah memastikan ladang mempunyai kemudahan seperti vehicle dip/foot dip serta pagar perimeter yang utuh.

“Penternak juga harus mengawal pergerakan keluar dan masuk ternakan, kenderaan dan individu.

“Penternak diingatkan juga untuk tidak memberikan sisa makanan dan sisa dapur kepada ternakan babi dan jangan membawa masuk haiwan baru yang tidak diketahui status kesihatan,” katanya.

Selain itu katanya, penternak perlu kenali tanda-tanda klinikal ASF seperti kematian tinggi pada ternakan, demam panas, kesukaran bernafas, kemerahan atau lebam pada kulit, hilang selera makan, murung, muntah, cirit-birit, bengkak sendi, luka (ulser) kulit dan hidung berair.

“Jika penternak mendapati adanya tanda-tanda ini, segeralah menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat.

“Kegagalan penternak melaporkan sebarang kes jangkitan ASF kepada pihak berkuasa boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi RM500 di bawah Seksyen 32-(2) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” jelasnya.

Beliau berkata, penternak yang didapati membuang bangkai babi melalui pelupusan haram ke kawasan peparitan, tadahan air atau jalan umum boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan denda tidak melebihi RM1,500 di bawah Seksyen 12-(2) Peraturan-peraturan Kawalan Ladang Ternakan 2003 (Control of Livestock Farming Rules, 2003.)

Menurutnya, ASF adalah penyakit babi yang tidak mempunyai vaksin dan tiada rawatan.

Oleh itu katanya, penternak harus mengambil berat terhadap langkah-langkah kawalan yang dinyatakan.

Jelas beliau, ASF merupakan penyakit yang hanya menyerang ternakan babi dan tidak zoonotik.

Sementara itu katanya, bekalan daging babi yang terdapat di pasaran adalah selamat untuk dimakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN