BALIK PULAU: Taktik licik seorang penganggur lelaki menyembunyikan bungkusan air ketum di dalam plastik sampah berwarna hitam untuk diedar kepada pelanggan akhirnya terbongkar apabila diberkas polis di tepi Jalan Sungai Burung, Mukim H, di sini semalam.
Air ketum lebih sinonim dengan panggilan ‘cakaroi’ atau ‘Marinda’ dalam kalangan penduduk atau penggemarnya di wilayah Utara.
Lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu diberkas sepasukan anggota polis dari Balai Sungai Korok semasa memandu sebuah kereta jenis Proton Wira kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek diberkas semasa anggota terbabit sedang menjalankan tugasan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan bungkusan plastik hijau dan hitam di bahagian tempat duduk penumpang dan but belakang kereta yang dipandunya seorang diri.
“Sebanyak 13 bungkusan plastik yang berisi 676 bungkusan plastik lutsinar itu didapati mengandungi cecair disyaki ketum.
“Semasa tangkapan dilakukan, suspek dipercayai dalam perjalanan mengedar air ketum di kawasan Balik Pulau.
“Soal siasat juga mendapati setiap bungkusan ketum dijual pada harga RM5 sebungkus dan jumlah keseluruhan rampasan tersebut bernilai RM3,380,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.
Beliau memberitahu, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN