Penduduk tangkap ular bisa, tedung selar - Utusan Malaysia

Penduduk tangkap ular bisa, tedung selar

ZULKIFLI Jamaludin menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap dalam rumahnya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Bukan calang-calang orang berani menangkap haiwan reptilia berbisa kerana tanpa kemahiran serta keberanian boleh mengancam nyawa.

Namun tidak bagi penduduk Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini, Zulkifli Jamaludin, 56, apabila berjaya menangkap seekor ular tedung selar yang masuk ke rumahnya semalam.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, seekor ulang tedung selar sepanjang tiga meter yang sememangnya reptilia berbisa di darat dapat ‘dijinakkan’ dan ditangkap oleh Zulkifli.

Zulkifli berkata, ketika dia menunaikan solat Asar terdengar bunyi suara ayam berketuk dan disambut bunyi yang berdesis berdekatan kediamannya.

“Selesai sahaja solat, saya turun ke belakang rumah yang betul berdekatan bilik dan terkejut melihat ular tedung selar mengembangkan kepalanya.

“Menyedari kehadiran saya, ular ini terus menjalar ikut sebuah lubang dan memasuki sebuah bilik berdekatan dapur yang kebetulan isteri sedang memasak,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini.

Menurut Zulkifli, dengan menggunakan kayu yang panjang, dia terus masuk ke dalam bilik dan melihat ular itu sudah mengembangkan kepalanya.

“Pengalaman banyak kali berdepan perangai reptilia ini, saya terus membiarkan ular ini melingkar di lantai, lagi pun pergerakannya agak terbatas kerana permukaan (lantai) agak kesat.

“Hampir lima minit saya berjaya menekan kepala ular berbisa ini dan pantas memegang (kepala) dan badannya dengan kuat dan sekiranya terlucut boleh mengundang padah,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu turut disaksikan beberapa orang jirannya yang selepas itu menasihatkannya supaya segera melepaskan ular berbisa tersebut.

“Saya pun memasukkan ular ini ke dalam guni dan kemudiannya dilepaskan di hutan berdekatan. Kejadian ular masuk ke dalam rumah memang kerap berlaku lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering kerana haiwan ini selesa keluar mencari makanan,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak itu menasihatkan orang ramai supaya jangan menangkap ular berbisa kecuali mempunyai kemahiran, pengalaman termasuk berani berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Saya peroleh kemahiran serta teknik mendekati reptilia ini daripada seorang rakan ketika bekerja sebagai penoreh getah sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN