SARATOK: Seorang lelaki dipercayai ketagihan menghidu gam ditemukan mati di dalam sebuah longkang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintenden Mordani Tanin berkata, mangsa dikenali sebagai Kamri Long, 35, dari Kampung Melango Baru, Saratok.
Katanya, mayat mangsa telah disahkan oleh anak saudara mangsa sendiri dan mengikut mklumat daripada ahli keluarganya, mangsa adalah seorang penghidu gam tegar sejak sekian lama.
Mordani berkata, pasukan polis melawat tempat kejadian dan mendapati mayat mangsa tersepit mengiring di dalam longkang belakang sebuah kedai di sini.
“Pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati keadaan mayat masih sempurna dan di pipi sebelah kiri dan lengan mangsa ada kesan sedikit luka yang dipercayai kesan calar akibat dinding longkang yang sempit,” katanya.
Turut ditemukan di tempat kejadian, satu tin gam dan dua beg plastik kosong dipercayai digunakan oleh mangsa untuk menghidu gam.
“Siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah, manakala rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada kedai berhampiran mendapati mangsa seorang diri ketika berada di lorong belakang kedai tersebut dan sedang menghidu gam di tepi longkang.
“Ketika dia cuba berdiri keadaan mangsa terhuyung-hayang, dipercayai mabuk kerana menghidu gam, menyebabkan dia terjatuh ke dalam longkang dan cuba untuk bangun tetapi tidak berjaya kerana keadaan longkang yang agak sempit,” katanya.
Mordani menambah pihak polis percayai mangsa lemas tersepit di dalam longkang tersebut.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya. UTUSAN










