PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dipercayai dihempap pokok ketika memancing dalam kejadian di loji air Sungai Langat, Bangi dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.53 petang itu, mangsa berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintenden Mohd. Nasir Drahman berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Tun Hussain Onn tiba di tempat kejadian bagi usaha menyelamatkan mangsa.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa adalah seorang tukang kebun dan menetap di Taman Kota Cheras, Batu 9.
“Proses pengecaman mayat dilakukan oleh pihak keluarga mangsa,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat.
“Orang ramai yang ada maklumat dan mengetahui tentang kejadian tersebut boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Sarjan Amir Mohd. Shah di talian 013-3999507 atau balai polis yang berdekatan bagi menyalurkan maklumat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengunjungi tempat-tempat yang berisiko yang boleh mengundang bencana alam dalam tempoh keadaan cuaca yang semakin tidak menentu,” ujar beliau.- UTUSAN









