pekerja gaji rendah

1.5 juta pekerja pengalaman 10 tahun bergaji bawah RM3,000

Ramai siswazah yang sanggup terima gaji RM1,500 asalkan mereka mempunyai pekerjaan. -GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1.5 ju­ta daripada 9.4 juta pekerja Malaysia menerima gaji dan upah di bawah RM3,000 walaupun sudah bekerja antara lapan hingga 10 tahun.

Bilangan itu termasuklah go­­­longan siswazah yang dibayar gaji sedikit berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang me­laporkan mereka sanggup me­nerima gaji antara RM1,001 hin­g­­­ga RM1,500, asalkan mempu­nyai pekerjaan dan meraih penda­patan.

Sehubungan itu, timbul persoalan sama ada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mencu­kupi untuk para pekerja me­nyara hidup mereka. Ini kerana Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia bagi tahun 2021 ialah RM2,208.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, ang­ka itu mencecah hingga le­bih sejuta orang pekerja kerana ha­kikatnya, ada yang sudah hampir 10 tahun bekerja, tetapi tidak meraih kenaikan gaji yang signifikan.

“Gaji minimum ini untuk siapa sebenarnya? Adakah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, lepasan ijazah atau golongan lain? Se­babnya seramai 1.5 juta pekerja Malaysia ketika ini menerima bayaran di bawah gaji RM3,000.

“Maknanya, ada yang be­kerja lapan hingga 10 tahun, tapi gaji masih di bawah RM3,000. Ini termasuk siswazah yang dibayar dengan gaji sedikit. Sedangkan, kalau bekerja buat (menyertai per­khidmatan) Grab, boleh dapat sampai RM4,000 sebulan,” katanya.

Abdul Halim berkata, perkara itu cukup berbeza dengan pekerja asing di luar negara yang boleh meraih pendapatan antara RM5,000 ke RM6,000 selepas hanya lima tahun bekerja di negara mereka.

“Struktur syarikat-syarikat besar di sini lebih mengutamakan pekerja asing tetapi berlaku eksploitasi apabila mereka dikerah bekerja hingga 12 jam setiap hari dan tidak ada cuti sakit. Ini manipulasi majikan terhadap pasaran kerja,” katanya.

Justeru, Abdul Halim me­nyifatkan pelaksanaan gaji minimum antara RM2,000 hingga RM2,500 adalah lebih wajar ketika ini.

“Jabatan Perangkaan me­le­takkan angka RM2,080 manakala Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan RM2,700 sebagai bayaran gaji yang adil, tetapi ini masih jauh berbanding gaji minimum RM1,200 ketika ini.

“Selepas berlakunya pande­mik Covid-19, banjir, harga barang naik, kos perkhidmatan naik, dengan 80 peratus orang Melayu makan gaji, adalah wajar ditetapkan antara RM2,000 hingga RM2,500,” katanya.

Beliau berkata, walaupun angka gaji minimum yang dicadangkan itu adalah tinggi, tetapi ia perlu dilakukan demi masa depan rakyat Malaysia.

“Kerajaan sendiri berusaha untuk menangani perkara ini. Malah, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersetuju jika kenaikan gaji RM2,000 ke RM2,500 dilaksanakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini.

“Gaji minimum ini adalah salah satu usaha kerajaan, kalau kita tidak laksanakan, kita mungkin akan terus tertinggal dari negara-negara lain. Gaji tidak naik, harga barang makin naik dan rakyat terus terkesan,” katanya.

Tahun lalu, Jabatan Perangkaan melaporkan purata gaji dan upah bulanan kira-kira 9.4 juta pekerja rakyat Malaysia menurun sembilan peratus pada 2020.

Ia adalah kemerosotan kali pertama sejak purata gaji mula direkodkan pada 2010, apabila purata gaji mencatatkan RM2,933 pada 2020 berbanding RM3,224 pada 2019 dan RM3,087 pada 2018.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umumkan kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah melonjak kepada sekitar RM10,000 sebulan pada 2025. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×