Pegawai bomba mengaku tidak bersalah terima rasuah

Pegawai bomba mengaku tidak bersalah terima rasuah

MOHD. Basri Othman yang dituduh menerima rasuah berkaitan penyelenggaraan kenderaan JBPM Perlis dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini. - FOTO/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pegawai bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi berdepan lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,962 berkaitan urusan penyelenggaraan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Basri Othman, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Basri didakwa menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM437 dan RM1,025 dari seorang lelaki, sebagai upah kepada dirinya untuk memberikan perkhidmatan bagi kerja-kerja menyelenggara kenderaan JBPM Perlis kepada sebuah bengkel yang terletak di Kangar, Perlis.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Sungai Petani pada 7 Oktober 2020 dan 10 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, tertuduh didakwa menerima suapan daripada individu sama berjumlah RM1,000, RM1,500 dan RM2,000 daripada individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan pada 2 November 2020,  29 Oktober 2020 dan 27 Oktober 2020 di lokasi sama, dengan tujuan yang sama.

Difahamkan tertuduh sememangnya ditugaskan untuk mengurus urusan penyelenggaraan tersebut.

Kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Hakim menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000.

Tertuduh difahamkan membayar kadar ikat jamin ditetapkan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya