[PARLIMEN] Tiada peratusan tertentu murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Tiada peratusan tertentu murid hadir ke sekolah tanpa penggiliran

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak meletakkan nilai ambang (threshold) bagi membolehkan murid hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran walaupun terdapat peningkatan kadar vaksinasi di sekolah-sekolah tertentu.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, kerajaan sebaliknya akan memantau keadaan semasa mengambil kira peralihan ke peringkat endemik Covid-19 untuk membolehkan semua murid hadir ke sekolah seperti biasa.

Jelasnya, terdapat baki 1,700 sekolah di seluruh negara yang masih menggunakan sistem penggiliran dan sekolah-sekolah peringkat rendah tidak akan bergilir apabila sesi persekolahan baharu dibuka 21 Mac ini.

“Sebab kerajaan tidak meletakkan nilai ambang kerana apa yang berlaku, jika untuk sekolah menengah itu terdapat peningkatan konsisten dalam kadar vaksinasi, macam sebelum ini kerajaan kata 90 peratus boleh pergi sekolah tanpa penggiliran, tetapi yang berlaku keadaannya cukup berbeza di sekolah rendah di satu-satu sekolah yang lain.

“Kalau kerajaan tunggu nilai-nilai ambang tertentu untuk membolehkan mereka hadir tanpa penggiliran, akan ada keadaan sekolah jauh ke belakang, dan sampai bila berterusan untuk bergilir?

“Jadi, daripada kerajaan memperincikan sekolah-sekolah yang boleh pergi tanpa penggiliran, setelah duduk berbincang dengan kementerian, apabila sekolah dibuka, kita bawa masuk dahulu sekolah di bawah 600 murid tanpa penggiliran dan lihat bagaimana keadaannya.

“Jika berjalan dengan baik, maka yang selebihnya akan dibawa masuk tanpa penggiliran juga, cuma tarikhnya akan ditetapkan kemudian,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan celahan daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (PH-DAP) sekiranya kerajaan merancang mengambil kira kadar vaksinasi tinggi di sesebuah sekolah supaya murid dapat belajar secara bersemuka memandangkan masih ada sekolah yang menggunakan sistem penggiliran.

Nie Ching berkata, terdapat sekolah-sekolah mempunyai kadar vaksinasi berbeza dan perlu pendekatan berbeza.

Pada minggu lalu, Radzi berkata, sistem penggiliran bagi sekolah rendah lebih 600 orang dijangka boleh ditamatkan pada bila-bila masa berbanding menetapkan sasaran kadar vaksinasi.

Jelasnya, kementerian ingin memastikan supaya murid-murid dapat hadir ke sekolah secepat mungkin tanpa penggiliran dalam masa negara sedang berpindah ke fasa endemik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN