KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menanggung lebihan kos berjumlah RM67.7 juta bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, ia berikutan SPR mendahulukan sebahagian peruntukan untuk PRN Sarawak bagi kegunaan PRN Melaka kerana kerajaan berpandangan PRN Sarawak mungkin tidak sempat dilaksanakan tahun lalu.
“Pelaksanaan PRN Melaka meliputi 28 kerusi DUN pada 20 November lalu dengan anggaran kos RM45.9 juta. Kos ditampung menggunakan peruntukan yang telah diluluskan untuk PRN Sarawak pada 2021 sebanyak RM138 juta kerana kerajaan mengandaikan PRN Sarawak tidak sempat dilaksanakan pada 2021.
“Namun, selepas Bajet 2022 dibentangkan pada Oktober lalu, PRN Sarawak diputuskan untuk diadakan pada Disember 2021 dan disebabkan itu, peruntukan tambahan diperlukan sebanyak RM67.7 juta.
“Lebihan kos yang perlu ditanggung SPR pada 2021 berjumlah RM67.7 juta adalah merangkumi pembayaran kos pelaksanaan sebahagian PRN Sarawak yang perlu dilaksanakan pada Disember 2021 kerana peruntukan yang disediakan sebelum itu sudah didahulukan untuk PRN Melaka,” katanya dalam sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN










