KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta memberi penjelasan siapa yang menanggung segala operasi Yayasan Kepimpinan Perdana.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Dr, Mahathir perlu menjelaskan sama ada beliau sendiri atau siapa yang membiayai yayasan itu.
“Siapa yang buat Yayasan Kepimpinan Perdana ini, Langkawi (Dr. Mahathir) sebelum ini ada umumkan bahawa Yayasan Kepimpinan Perdana untuk digunakan bekas-bekas Perdana Menteri.
“Saya nak tanya adakah Langkawi ada jemput Perdana Menteri kelima, enam dan lapan duduk di Yayasan Kepimpinan Perdana. Sekarang hanya nampak Perdana Menteri keempat dan tujuh sahaja duduk di sana.

“Jadi kena jelaskan, siapa biayai. Dia (Langkawi) sendiri atau siapa bayar,” katanya pada sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir pada sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mempertikai amalan pemberian hadiah lumayan kepada bekas Perdana Menteri yang diamalkan Malaysia ketika ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengambil satu sen pun daripada kerajaan selepas bersara walaupun diberikan tawaran pemberian tanah pada ketika itu. – UTUSAN










