KUALA LUMPUR: Jumlah pendapatan petroleum negara dijangka meningkat kepada RM8.7 bilion tahun ini sekiranya harga minyak mentah kekal pada kadar melebihi AS$100 se tong.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, anggaran awal kementerian itu tidak termasuk cukai kepada petroleum sebanyak lima peratus.
Bagaimanapun katanya, unjuran itu bergantung kepada konflik Rusia dan Ukraine yang menjadi faktor utama peningkatan harga minyak mentah dunia.
“Sekiranya kita menganggarkan harga minyak mentah masih berada pada kadar AS$100 se tong, kita menjangkakan negara mendapat hasil petroleum berjumlah RM8.7 bilion, tidak termasuk lima peratus cukai kepada petroleum.
“Ini perkara yang sedang kita lihat dan kita sedang buat kajian dari semasa ke semasa untuk melihat supaya hasil diperoleh dapat membiayai program subsidi diatur bagi 2022 untuk melegakan dan mengimbangi keperluan mendesak rakyat.
“Namun, memandangkan konflik di Ukraine masih di peringkat awal, kerajaan masih belum dapat membuat unjuran sebenar peningkatan pendapatan itu berbanding implikasi kewangan yang perlu ditanggung menerusi pemberian subsidi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Shahar berkata, konflik antara Rusia dan Ukraine menyebabkan harga minyak mentah naik mendadak ke paras melebihi AS$100 se tong iaitu paras tertinggi sejak 2014 sehingga menyebabkan jumlah subsidi bagi petroleum, diesel dan gas cecair memasak (LPG) yang ditanggung negara akan melebihi RM2.5 bilion sebulan.
“Jika harga minyak mentah kekal melebihi AS$100 se tong, jumlah subsidi bagi keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021,” katanya. – UTUSAN










