[Parlimen] Pembangkang tolak lanjutan SOSMA, tahan 28 hari 

[Parlimen] Pembangkang tolak lanjutan SOSMA, tahan 28 hari 

SIVARASA RASIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju kerajaan melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari.

Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) berkata, peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) sudah cukup untuk siasatan yang perlu dalam kes melibatkan SOSMA.

Jelasnya, isu keganasan, penyeludupan manusia dan jenayah terancang bukan unik untuk Malaysia kerana negara-negara luar turut berdepan masalah sama, malah negara tersebut menggunakan undang-undang yang disifatkan kurang menindas atau ‘drakonian’ serta berjaya menangani masalah itu.

“Kesalahan yang disebut oleh menteri dihuraikan oleh Kanun Keseksaan, tiada kena-mengena dengan SOSMA, bantahan daripada dahulu hingga sekarang oleh Pakatan Harapan (PH) dan Pakatan Rakyat (PR) masa itu sebab banyak peruntukan dalam SOSMA secara keseluruhan menindas dan menghancurkan hak tertuduh dan tidak selari dengan piawaian antarabangsa hak asasi manusia.

“Di Indonesia ada juga masalah keganasan, tetapi, mereka gunakan peruntukan biasa yang sama untuk kesalahan lain, mereka bicarakan di mahkamah terbuka dan gunakan sistem lebih adil kepada semua pihak, pendakwa dan tertuduh.

“Pihak polis diberi kuasa untuk tangkap (tertuduh) selama 28 hari kononnya atas siasatan, padahal, realiti hidup di banyak negara lain seperti kesalahan membunuh, merogol dan macam-macam yang serius disiasat di bawah CPC dan polis diperuntukkan 14 hari di sana dianggap cukup.

“Satu hari simpan (tahan) tanpa perintah mahkamah dan selepas 24 jam, rujuk pada mahkamah sebagai mekanisme semak dan imbang. Mahkamah akan putuskan berapa hari (tempoh tahanan) dan maksimum selama 14 hari,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa celahan ketika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membentangkan usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun lagi bermula 31 Julai ini.

Justeru, kerajaan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan 4(5) akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks terutama melibatkan kumpulan pengganas dan jenayah terancang yang mempunyai rangkaian luas.

Sementara itu, Ramkarpal Singh (PH-DAP) menyuarakan kebimbangan jika pengekalan tempoh tahanan selama 28 hari itu itu disalah guna oleh pihak tertentu ketika proses tahanan tidak melibatkan mahkamah.

“Oleh kerana penting untuk mahkamah terlibat dalam proses ikat jamin, begitu juga dengan proses reman di sini. Seksyen 4(5) itu biasanya seorang yang ditangkap perlu dibawa ke satu majistret dalam tempoh 24 jam untuk majistret mengeluarkan perintah reman yang boleh berlanjutan hingga 14 hari, ini adalah amalan peruntukan di bawah CPC bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak polis.

“Ini (kuasa) telah dikeluarkan dalam SOSMA di dalam subseksyen 4(5) iaitu polis tidak akan ada semak dan imbang oleh majistret. Ini tentunya dalam pandangan saya tidak berperlembagaan kerana mengeluarkan kuasa kehakiman dalam proses tahanan seseorang suspek dalam SOSMA.

“Macam mana jika seseorang itu ditahan selama 28 hari? Itu satu bulan, lama. Banyak perkara boleh berlaku dan selepas itu tiada ada apa-apa (kesalahan) kita lepaskan. Di mana keadilannya?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN