IPOH: Kediaman keluarga mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terbakar di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini malam tadi, mengalami ‘trip elektrik’ sebelum terbakar.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu, ibu mentua Hamzah, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, pula sesak nafas.
Anak kedua mangsa, Ahmad Ikhwan Abdul Ghani, 57, berkata, adik bongsunya yang tinggal di kediaman tersebut juga memberitahu melihat asap tebal keluar dari bilik ibunya.
“Berdasarkan cerita adik, berlaku trip elektrik dan rumah tiba-tiba blackout (terputus bekalan elektrik). Dia keluar sekejap untuk lihat rumah jiran sama ada blackout juga atau tidak.
“Apabila dia masuk semula ke dalam rumah, dia perasan ada asap keluar dari bilik mak dan bila buka sahaja pintu, bilik itu telah dipenuhi asap tebal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Ahmad Ikhwan, ibunya yang terlantar akibat sakit tua mendiami bilik di tingkat bawah rumah tersebut dan tinggal bersama keluarga adiknya serta seorang pembantu rumah.
Katanya, ketika kejadian, bapanya berada di bilik di tingkat atas dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba.
“Mak sudah lama uzur, memang bedridden. Bilik bawah memang khas untuk dia sebab dia sudah tidak boleh naik tangga. Ada pembantu rumah yang jaga mak 24 jam.
“Ayah sesak nafas akibat terhidu asap dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Dia ditidurkan untuk proses pemulihan. Setakat pukul 1.30 pagi tadi, saya tengok ayah stabil. Dia nampak macam tidur,” katanya.
Jenazah Allahyarham Salmiah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas solat Jumaat.-UTUSAN.










