KUANTAN: Seorang pegawai polis berpangkat asisten superintenden polis (ASP) kekal dipenjara 12 bulan selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak rayuan terhadap sabitan serta hukuman atas kesalahan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Harun membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda RM25,000 terhadap tertuduh, Hasbullah Ali Alias, 48.
Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman selaras Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.
Mengikut kertas pertuduhan, Hasbullah yang ketika kejadian bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Jalan Beserah di sini, pada pukul 12.37 tengah hari, 7 Mei 2018.
Wang tunai itu dipercayai sebagai suapan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan berkaitan satu kes dadah yang dikendalikan tertuduh ketika itu.
Bagi perbuatan itu, Hasbullah didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. – UTUSAN










