KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta model cukai kepenggunaan yang lain.
Kementerian Kewangan berkata, kajian itu mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada seperti SST serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada 2015.
“Kajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap,” kata kementerian dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kenyataan kementerian itu bagi menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan semula GST.
Namun kata kementerian, jika cukai baharu dilaksanakan, ia juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Ini kerana katanya, ekonomi negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan yang baharu perlu mengambil kira senario semasa.
“Di samping itu, ia juga memberi ruang bagi persiapan dan persediaan yang rapi di kedua-dua pihak kerajaan dan pembayar cukai,” kata kementerian.
Sementara itu, kutipan hasil SST kerajaan persekutuan bagi 2021 adalah sebanyak RM25.48 bilion yang terdiri daripada RM13.49 bilion bagi cukai jualan dan RM11.99 bilion bagi cukai perkhidmatan.
Pada 2020, SST yang dikutip berjumlah RM25.25 bilion merangkumi RM13.24 bilion bagi cukai jualan dan RM12.01 bilion bagi cukai perkhidmatan. – UTUSAN










