KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha mendapatkan satelit dengan harga lebih rendah namun masih memberikan liputan baik terutama di kawasan-kawasan dikenal pasti sebagai ‘titik buta’ terhadap rangkaian internet.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ketika ini, kerajaan masih berbincang untuk menggunakan jenis satelit yang sesuai memandangkan harganya terlalu mahal.
Menurutnya, langkah itu sebagai cara mengatasi masalah rangkaian internet di luar bandar dan di bandar yang turut berdepan masalah serupa.
“Kerajaan kalau boleh ada satelit terutama di kawasan tiada liputan, dengan adanya satelit semua dapat diatasi termasuk di kawasan nelayan, Selat Melaka, Laut Cina Selatan. Tetapi, satelit ini mahal, jadi kerajaan sedang usahakan bagaimana mahu menurunkan harga tetapi dapat liputan internet.
“Kadang-kadang, di kawasan bandar termasuk Cyberjaya sendiri ada titik buta yang tiada liputan internet. Begitu juga kawasan yang dekat dengan bandar, bukan luar bandar, tetapi kawasan yang berpenduduk tinggi juga tiada liputan, jadi, cara mengatasinya di kawasan bandar kita tumpu kepada rangkaian internet kelajuan 5G,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri menjawab soalan tambahan daripada Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai langkah berkesan untuk menangani masalah itu tanpa perlu mengambil masa terlalu lama sehingga dua tahun menyelesaikannya.
Dalam pada itu, Zahidi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 20 kertas siasatan ke atas pembekal perkhidmatan mudah alih hasil daripada aktiviti audit pengukuran kualiti perkhidmatan dijalankan di seluruh negara.
Setakat ini katanya, kerajaan telah mengenakan dua kompaun kepada pembekal perkhidmatan yang tidak mencapai piawaian ditetapkan dengan jumlah kompaun ditawarkan sebanyak RM60,000 dan satu kompaun sedang diproses sebanyak RM20,000, yang melibatkan perkhidmatan Celcom di Sabah dan Unifi Mobile di Melaka serta Pahang.
“Kerajaan merancang meningkatkan aktiviti audit pengukuran bermula tahun ini bagi semua pembekal perkhidmatan termasuk kawasan pedalaman atau luar bandar,” katanya. – UTUSAN










