[PARLIMEN] Audit 2020: LKIM perlu tambah baik mekanisme bantuan kepada nelayan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Audit 2020: LKIM perlu tambah baik mekanisme bantuan kepada nelayan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan dan Insentif Pendaratan Ikan dengan memperhalusi elemen semakan kelayakan dan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, ia bagi memastikan bayaran Program Insentif Hasil Tangkapan Nelayan dapat dilaksanakan dengan teratur dan tersusun.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan skop audit, terdapat kelemahan dalam bayaran program Insentif Hasil Tangkapan Nelayan kepada nelayan oleh LKIM. Bayaran elaun sara hidup berjumlah RM24,571 dibuat kepada penerima yang telah meninggal dunia.

“Di samping itu, bayaran Insentif Pendaratan Ikan berjumlah RM21,392 dibuat kepada penerima yang telah meninggal dunia serta pemilik vesel yang tidak mengisytiharkan hasil tangkapan ikan telah menerima Skim Subsidi Diesel dan Petrol berjumlah RM2.12 juta,” menurut laporan itu.

LKIM juga diminta untuk menguatkuasakan tindakan senarai hitam dan sekatan bekalan minyak Skim Subsidi Diesel dan Petrol terhadap pemilik vesel yang gagal atau enggan mengisytiharkan hasil tangkapan ikan.

Laporan berkenaan juga mengesyorkan supaya penambahbaikan sistem yang terlibat dilaksanakan dengan mempunyai ciri keselamatan, boleh dipercayai dan memiliki pelan kesinambungan perkhidmatan.

Insentif Hasil Tangkapan Nelayan bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai pendaratan ikan bagi setiap pemilik vesel selain ia sebagai galakan kepada nelayan untuk mendaratkan hasil perikanan di dalam negara.

Ia juga bertujuan bagi mengawal dan memastikan minyak bersubsidi yang dibeli nelayan digunakan hanya untuk aktiviti menangkap ikan dan menampung kos perbelanjaan susulan peningkatan harga minyak.

Elaun Sara Hidup Nelayan pula merupakan bantuan bulanan kepada nelayan terdiri daripada pemilik vesel perikanan dan pekerja (awak-awak) yang berkelayakan serta berdaftar di bawah Jabatan Perikanan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN