kesan minyak

Pantai Cermin masih ada kesan minyak

MASIH ADA KESAN MINYAK...AHMAD Ismail meninjau semula kawasan berlakunya pencemaran minyak di Pantai Cermin, Port Dickson yang berlaku pada Oktober 2020. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Walaupun sudah lebih setahun kejadian tum­pahan minyak berlaku di Pantai Cermin di sini dan Tanjung Tuan, kesan kejadian tersebut masih kelihatan terutama di se­kitar kawasan paya bakau.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ah­mad Ismail berkata, kesan tum­pahan minyak masih lagi ada dan ia menunjukkan kejadian ter­sebut begitu memberi kesan kepada alam sekitar dan mengambil masa lama untuk pulih.

“Saya tidak nampak tompokan yang jelas tetapi kesan tumpahan masih lagi ada. Ia Bergantung kepada banyak faktor untuk hilang secara semula jadi termasuk dari sudut fizikal, kimia dan biologi.

“Sifat minyak yang boleh berada lama dalam ekosistem hutan bakau akan mengambil masa lama untuk pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, pihaknya tidak dapat memberi jawapan tepat berapa lama kesan tumpahan minyak akan memberi kesan kepada kawasan sekitar.

Bagaimanapun tegasnya, ada beberapa kejadian sebelum ini, tumpahan minyak yang berlaku boleh mencecah sehingga 20 tahun untuk pulih.

“Sepatutnya kajian segera dilakukan untuk mengetahui tempoh kesan tumpahan minyak tersebut namun mungkin ia ditangguh kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penanaman pokok bakau yang baharu perlu dilakukan di kawasan itu supaya aktiviti biologi dan kimia boleh berlaku dalam ekosistem kawasan berkenaan.

“Sebelum aktiviti tanam bakau dilakukan perlu faham tentang ekosistem hutan bakau dan proses yang akan berlaku apabila sesuatu spesies bakau yang sesuai ditanam.

“Semasa minyak menutup permukaan sedimen, ia mengganggu aktiviti fizikal, kimia dan biologi. Apabila selepas setahun sudah ada perubahan dari segi kehadiran aktiviti organisma bentik.

Penanaman pokok bakau mungkin boleh mengaktifkan semula aktiviti biologi di permukaan sedimen,” katanya.

Sementara itu, menurut Ahmad, pihak berkuasa perlu memainkan peranan memantau aktiviti perkapalan yang melalui Selat Melaka bagi memastikan insiden pencemaran minyak tidak berulang.

“Terdapat lebih 300 buah kapal tangki besar yang melalui Selat Melaka setiap hari dan sebanyak 100,000 buah kapal akan melaluinya dalam tempoh setahun.

“Tidak mustahil akan berlaku tumpahan minyak yang akhirnya nanti sampai ke pantai dan mengganggu habitat haiwan, merosakkan paya bakau dan mencemarkan alam sekitar lain,” katanya.

Pada 12 Oktober 2020, pencemaran minyak dikesan berlaku di sepanjang dua kilometer Pantai Cermin di sini termasuk kawasan Tanjung Tuan.

Kerja-kerja pembersihan pencemaran tersebut pada waktu itu mengambil masa lebih seminggu melibatkan anggota petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain dengan kos pembersihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Kerja-kerja pembersihan pa­da ketika itu turut menemukan banyak habitat laut yang mati serta udang dan udang kara yang diselaputi sisa minyak.

Kesemua haiwan ter­sebut ditemukan di kawasan pokok bakau di pantai tersebut yang turut teruk terjejas akibat tumpahan minyak tersebut.

Hasil ujian dan analisa yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) kemudiannya mendapati minyak enjin kapal yang berlabuh di perairan berhampiran pantai Port Dickson menjadi punca pencemaran kepada pencemaran tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×