LUMUT: Pangkor menjadi pulau peruncitan digital pertama di bawah program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang dilancarkan di pulau bebas cukai itu hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program ReDI bagi membantu peniaga kecil supaya tidak ketinggalan dalam dunia digitalisasi perniagaan.
Beliau berkata, ReDI juga untuk memastikan peniaga kecil tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.
Katanya, pelancaran ReDI di Pangkor hari ini sangat penting kerana ia akan memberi momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan.
“Sebelum ini kita promosikan penggunaan E-Wallet tetapi bilangan yang menggunakannya sangat rendah.
“Setakat ini, jumlah peniaga yang mendaftar dalam program ReDI adalah 61 peratus iaitu seramai 451 daripada 741 peniaga sehingga 18 Mac lalu.
“Sebanyak 3,347 peniaga telah mengadaptasi program ReDI sehingga 15 Mac lalu,” katanya kepada pemberita pada pelancaran program ReDI di Pangkor di sini hari ini.
Menurut Alexander, perkembangan digitalisasi untuk memastikan 875,000 perusahaan mikro kecil dan sederhana menerima e-dagang dan memberi 500,000 peluang perniagaan.
Beliau berkata, program ReDI memberi sumbangan sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.
Katanya, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30 peratus iaitu bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun lalu.
“Menerusi pelaksanaan ReDI, kementerian berharap dengan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), 100 peniaga di setiap PBT disasar menyertai ReDI menjelang akhir 2025.
“Kementerian menyasarkan 15,000 peniaga di seluruh negara menerima manfaat menerusi program ReDI dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN










