PETALING JAYA: Fungsi pengesanan kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera kini tidak lagi berkesan seperti pada fasa awal pandemik, sebaliknya dimanfaatkan untuk tujuan lain.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, ia berikutan kes jangkitan yang tinggi dalam komuniti direkodkan ketika ini.
“Sudah tiba masanya untuk amalan mengimbas kod MySejahtera setiap kali memasuki premis dihentikan terutama apabila kita melengkapkan fasa peralihan (ke fasa endemik). Penggunaan aplikasi MySejahtera membolehkan pengesanan kontak rapat ketika pandemik berada pada kemuncaknya, satu pencapaian yang mustahil tanpa aplikasi MySejahtera.
“Dengan bilangan kes positif dalam kalangan kita yang tinggi, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Koh berkata, aplikasi itu masih boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih baik memandangkan ia diterima pakai oleh sebahagian besar penduduk negara, tetapi dalam masa sama tetap mengekalkan fungsi pengesanan kontak itu sebagai persediaan menghadapi wabak lain seterusnya.
“Aplikasi MySejahtera boleh diguna pakai sebagai rekod kesihatan peribadi kerana sudah sedia dihubungkan dengan identifikasi setiap individu serta tidak boleh dipindah alih, (namun) kebimbangan adalah keselamatan data.
“Melihat kepada apa yang dikongsikan di media sosial berkenaan pemilikan aplikasi ini, adalah diharapkan supaya kerajaan terus bersikap proaktif dalam menjana kepercayaan rakyat terhadap aplikasi ini.
“Ia dengan harapan supaya akhirnya aplikasi itu akan digunakan dalam pengurusan rekod kesihatan ke arah sistem penjagaan kesihatan yang berkesan untuk negara,” katanya.
Menurut Kah Cai, perkara yang kurang ketika ini dalam struktur kesihatan negara adalah sistem pengurusan rekod kesihatan populasi secara berpusat.
Katanya, terdapat keperluan untuk sistem rekod kesihatan elektronik yang terjamin keselamatannya serta mudah diakses oleh pengamal perubatan.
“Ia bagi membolehkan penjagaan kesihatan penduduk yang lebih lancar berbanding ketika ini apabila rekod kesihatan masih belum boleh diakses oleh pelbagai fasiliti dan pengamal perubatan.
“Aplikasi MySejahtera boleh digunakan sebagai usaha awal untuk mempunyai rekod kesihatan yang boleh dibawa oleh setiap individu bagi membolehkan pengamal perubatan mendapat akses terhadapnya apabila ia diperlukan,” katanya. – UTUSAN