Muda nafi ceroboh, ada perjanjian sewa setahun - Utusan Malaysia

Muda nafi ceroboh, ada perjanjian sewa setahun

BANGUNAN milik PIJ Holdings yang disewa Muda daripada pihak lain yang dikatakan diceroboh parti itu bagi tujuan politik di Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menafikan pihaknya menceroboh bangunan milik PIJ Holdings Sdn. Bhd., seperti dalam satu laporan polis yang dibuat terhadap mereka.

Rasid Abu Bakar yang juga Ketua Penerangan Muda Johor memberitahu, sebaliknya mereka mempunyai perjanjian bertulis untuk menyewa premis berkenaan selama setahun dan jika timbul sebarang pertikaian, itu adalah melibatkan PIJ Holdings Sdn. Bhd. bersama individu yang menyewakan lokasi tersebut kepada mereka.

“Saya dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan kami menceroboh bangunan ini untuk dijadikan pusat operasi dan bilik gerakan Muda bagi DUN Larkin, tiada mana-mana tingkap atau pintu yang dipecahkan pun. Sebaliknya, kami mempunyai perjanjian bertulis bersama penyewa ruangan ini untuk setahun, di mana kami juga sudah maklumkan ia akan digunakan sebagai pusat operasi parti politik iaitu Muda.

“Jadi tidak timbul isu kami menceroboh bangunan ini, apatah lagi kami sudah memulakan operasi di sini sejak 26 Februari lalu, iaitu pada hari penamaan calon, mengapa hanya baru sekarang tuduhan ini timbul,” soalnya dalam sidang akhbar di premis berkenaan, di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu laporan polis yang mendakwa Muda bertindak menceroboh bangunan milik PIJ Holdings untuk digunakan bagi tujuan politik sedangkan bangunan berkenaan dibangunkan sebagai inkubator untuk membantu usahawan muda memulakan perniagaan mereka.

Tambah Rasid, pihaknya melihat tuduhan dan laporan polis yang dibuat itu sebagai satu tindakan politik tidak sihat yang dilakukan pihak lawannya dipercayai daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya difahamkan ada satu rakaman audio melibatkan pembantu calon BN di sini (DUN Larkin) yang mengarahkan agar satu laporan polis dibuat berhubung pengoperasian kami di bangunan ini. Saya tidak tahu apa tujuan mereka berbuat demikian, jika benar ini salah mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sebelum ini, sudah seminggu kami beroperasi dengan kehadiran pegawai polis dan juga pegawai agensi kerajaan lain, tidak timbul sebarang isu sebelum ini,” katanya.

Namun pada masa sama, Rasid memaklumkan jika benar mereka telah melakukan kesalahan, pihaknya meminta agar agensi berwajib mengeluarkan arahan bertulis mengikut prosedur undang-undang sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya