Anak peniaga roti canai miliki lebih 8,000 bahan pornografi

Anak peniaga roti canai miliki lebih 8,000 bahan pornografi

MUHAMAD Amirul Syafiq Rahmat dan Mohamad Saiful Jaafar (depan) diiringi polis hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban bagi pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki ber­usia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan pe­nganiayaan seksual kanak-kanak yang disimpan dalam telefon bimbit dan peranti elektronik miliknya.

Tertuduh, Muhamad Ami­rul Syafiq Rahmat, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak berbentuk video dan gambar lucah yang disimpan dalam sebuah te­lefon bimbit miliknya dalam kejadian yang berlaku pada 6 April lalu.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengah hari di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar Pajam, Nilai, di sini.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Ke­salahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman pen­jara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh mera­yu agar hukuman minimum dikenakan dengan alasan hanya membantu bapanya berniaga roti canai selain tinggal bersama ibu dan kakaknya sekeluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pen­dakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira hasil siasatan forensik yang menemukan sebanyak 8,129 imej dan video pornografi disyaki melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak dalam peranti terbabit.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sebagai sebahagian daripada hukuman tambahan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkapan serta memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Di Mahkamah Sesyen sama, seorang tukang masak hotel, Mohamad Saiful Jaafar, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan menyimpan bahan peng­aniayaan seksual kanak-kanak dan bahan lucah ditemui dalam peranti elektronik miliknya di sebuah rumah di Taman Politeknik, Port Dickson pada 6 April lalu sekitar pukul 11.50 pagi.

Pertuduhan pertama, Moha­mad Saiful didakwa memiliki enam video bahan penganiayaan seksual kanak-kanak yang disimpan dalam pemacu pena manakala pertuduhan kedua melibatkan 23 keping gambar dan 100 video lucah yang ditemui dalam Unit Pemprosesan Pusat miliknya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk isteri, seorang bayi berusia enam bulan yang mengalami masalah jantung, serta ibu dan adik-beradik.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima hari bermula tarikh tangkapan serta denda RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,500 bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan dan pengawasan polis setahun selepas selesai menjalani hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN