PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes gangguan seksual dalam tren telah ditahan oleh Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), baru-baru ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memaklumkan, suspek yang merupakan warga asing berusia dalam lingkungan 19 tahun itu diberkas ketika operasi menjejaknya dijalankan.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan saksi pada 8 April 2026 yang mendakwa, seorang lelaki telah mengganggu penumpang wanita dalam tren di Laluan Kelana Jaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang ditahan juga dipercayai terlibat dalam satu lagi kes gangguan seksual di Stesen Kuchai, Laluan Putrajaya.
“Tindakan pantas pasukan Polis Bantuan Prasarana berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan dalam memastikan keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rapid Rail berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
“Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL menyeru orang ramai agar segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana sekiranya melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan supaya tindakan pantas dapat diambil,” katanya. – UTUSAN










