Modal lompat parti tak berkesan di Endau

Modal lompat parti tak berkesan di Endau

RONALD Kiandee (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kelengkapan kepada nelayan ketika hadir Jelajah Dialog Industri Agromakanan Bersama Komuniti Agromakanan Negeri Johor di Kompleks LKIM Endau, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau mampu membuat penilaian terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun pihak lawan memainkan sentimen lompat parti dalam kempen mereka.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sentimen dimainkan itu tidak boleh dihentikan, namun beliau yakin pengundi di DUN berkenaan sangat matang.

Tambahan pula, katanya, penyandang kerusi DUN tersebut, Alwiyah Talib yang juga calon Perikatan Nasional (PN) telah membuktikan khidmat beliau selama empat tahun menjadi wakil rakyat di situ.

“Kita tidak boleh hentikan mereka (guna kempen lompat parti) tetapi saya yakin pengundi di sini matang boleh bezakan calon terbaik. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau sudah buktikan peranan sebagai wakil rakyat selama empat tahun di sini. 

“Kita tidak boleh hentikan mana-mana pihak yang cuba untuk lemahkan calon PN, tetapi saya yakin pengundi DUN Endau boleh menilai wakil terbaik untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Jelajah Dialog Industri Agromakanan Bersama Komuniti Agromakanan Negeri Johor di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, hari ini.

Ronald berkata, kesemua 56 calon ditampilkan oleh PN terdiri daripada pelbagai latar belakang, kumpulan umur dan merangkumi gabungan pengalaman daripada calon.

“Kita sudah tawarkan yang terbaik dari segi calon termasuklah latar belakangnya dan komitmen mereka terhadap penduduk. Gabungan parti-parti PN juga telah bekerja keras untuk pastikan calon kita menjadi calon pilihan pengundi dan akan mengundi mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan seramai 126 nelayan kelas Zon A telah diberikan lesen baharu selepas terlibat dalam proses pemutihan nelayan di Endau.

Katanya, ia merupakan pendekatan baharu kementerian bagi memastikan nelayan tulen dibela dan diberi peluang kelangsungan hidup menerusi hasil tangkapan laut secara berterusan tanpa masalah.

Jelasnya, setakat ini secara keseluruhan seramai 2,000 hingga 3,000 nelayan baharu dipilih dan ditawarkan lesen berkenaan di seluruh negara menerusi proses pemutihan itu. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya