Ikan ebek gergasi mendarat lagi di Pantai Bisikan Bayu - Utusan Malaysia

Ikan ebek gergasi mendarat lagi di Pantai Bisikan Bayu

HARIS Hakimi Rohim menunjukkan hasil tangkapan ikan ebek yang dipancingnya di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini meriah dengan ratusan kaki pan­cing yang membanjiri kawasan sepanjang hampir lima kilometer (km) itu sejak beberapa hari lalu untuk ‘menaikkan’ ikan ebek gergasi.

Kemunculan semula ikan e­bek gergasi atau African Pompano yang menjadi buruan pemancing sejak Jun lalu nyata memberi rezeki besar kepada mereka yang sanggup berpanas di bawah terik mentari.

Berkongsi kegembiraan dengan Utusan Malaysia, Haris Hakimi Rohim, 20, berkata, dalam hanya tempoh sejam dia berjaya mendaratkan tiga ekor ikan ebek.

Katanya, Pantai Bisikan Bayu memang terkenal sebagai lokasi mendaratkan ikan tersebut setiap kali musim tiba.

“Tahun ini ikan ebek sudah dua kali ke pantai ini. Kalau bernasib baik, pemancing boleh membawa pulang tiga ekor dengan berat antara tiga hingga lima kilogram (kg) seekor. Ikan ini biasanya aktif bermain di pesisir pantai dan gemarkan umpan udang hidup,” katanya ketika ditemui.

Haris Hakimi berkata, pemancing lazimnya menggunakan umpan udang hidup yang dibeli daripada pencari udang tempatan dengan harga antara 50 sen hingga 70 sen seekor.

Katanya, kail pula perlu dipadankan dengan batu ladung bersaiz lapan dan dilontar jauh ke tengah laut bagi menarik perhatian ikan.

Seorang lagi pemancing, Faizal Ismail, 50, berkata, kehangatan cuaca dengan suhu sekitar 31 darjah Celsius tidak mematahkan semangat pemancing tegar yang sanggup menunggu berjam-jam lama­nya.

“Walaupun panas, kami tetap setia menunggu kerana kepuasan utama adalah apabila berjaya mendaratkan ebek gergasi,” katanya.

Sementara itu, pencari udang hidup, Ahmad Asmadi, 30, berkata, permintaan terhadap udang meningkat mendadak sejak kehadiran ikan tersebut.

“Kami bersengkang mata mencari udang di tepi sungai sekitar Semerak. Alhamdulillah, pendapatan juga lumayan kerana permintaan tinggi daripada kaki pancing dari seluruh daerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN