SEJAK dahulu, lokasi menjadi faktor utama yang menentukan nilai sesebuah tanah dan pembangunan bandar. Premis yang terletak berhampiran jalan utama, stesen pengangkutan awam atau kawasan tumpuan orang ramai lazimnya mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi.
Namun, kemunculan ekonomi digital mengubah cara nilai sesuatu lokasi ditentukan. Hari ini, lokasi bukan lagi sekadar soal kedudukan fizikal tetapi turut dipengaruhi capaian digital dan algoritma platform.
Dalam era ekonomi digital, nilai sesebuah premis tidak hanya bergantung kepada jumlah pejalan kaki yang melaluinya. Sebaliknya, faktor seperti radius penghantaran, kelajuan perkhidmatan, keterlihatan dalam platform digital dan keupayaan memenuhi permintaan pelanggan menjadi penentu baharu.
Algoritma turut membentuk corak pembangunan bandar. Platform digital menggunakan data permintaan pengguna, masa perjalanan dan corak pergerakan untuk menentukan lokasi yang lebih menguntungkan.
Syarikat logistik memilih lokasi gudang berdasarkan analisis data, manakala platform penghantaran makanan dan perkhidmatan e-panggilan mengoptimumkan laluan serta kawasan liputan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Keadaan ini menunjukkan nilai sesebuah lokasi kini terbentuk melalui gabungan infrastruktur fizikal dan digital. Jalan raya, pengangkutan awam dan kemudahan asas masih penting, namun perlu disokong oleh rangkaian internet yang stabil, sistem pembayaran tanpa tunai, pusat data dan platform digital yang cekap.
Infrastruktur digital kini menjadi keperluan asas yang sama penting dengan bekalan air dan elektrik.
Perubahan ini menuntut pendekatan baharu dalam perancangan bandar. Perancang bandar, pemaju hartanah, penilai dan pembuat dasar tidak lagi boleh bergantung kepada ukuran tradisional semata-mata.
Mereka perlu mengambil kira faktor seperti keterlihatan dalam platform digital, kepadatan zon pesanan, kecekapan penghantaran dan pola penggunaan data ketika merancang pembangunan bandar.
Ekonomi digital juga meningkatkan daya tahan bandar ketika berdepan krisis. Ketika banjir, wabak atau gangguan pergerakan berlaku, perniagaan masih mampu beroperasi melalui platform e-dagang, media sosial dan perkhidmatan penghantaran.
Namun, manfaat ini hanya dapat dinikmati jika negara mempunyai prasarana internet yang kukuh, dasar digital yang adil dan kemahiran digital yang mencukupi dalam kalangan usahawan.
Hakikatnya, ekonomi digital tidak mengurangkan nilai bandar, sebaliknya mentakrifkan semula makna lokasi strategik.
Pada masa depan, bandar yang berdaya saing bukan sahaja mempunyai infrastruktur fizikal lengkap, malah disokong ekosistem digital cekap, telus dan inklusif.
Dalam era algoritma, nilai sesebuah bandar bukan lagi ditentukan oleh lokasi semata-mata tetapi oleh keupayaannya menghubungkan manusia, data dan ekonomi secara pintar. –UTUSAN
DR. NOR AMALEENA MAZLAN & DR. ZAFIRA NADIA MAAZ
Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina,
Universiti Malaya










