KUALA TERENGGANU: Polis giat memantau hantaran media sosial yang memaparkan berita palsu berhubung isu pembalakan di Tasik Kenyir yang didakwa menyebabkan banjir besar di Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, individu atau pemilik akaun yang dikenal pasti menyebarkan kandungan tidak benar akan dipanggil bagi siasatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini tiada mana-mana pihak dikesan melakukan kesalahan berkenaan menerusi pemantauan di Facebook, TikTok dan aplikasi WhatsApp.
“Setakat ini, pemerhatian mendapati kebanyakan kandungan tular bersifat am dan tidak menyalahkan mana-mana pihak secara langsung. Namun, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri masih meneruskan pemantauan berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini tular beberapa hantaran kononnya punca utama bencana banjir di Hulu Terengganu disebabkan oleh aktiviti pembalakan berdekatan empangan Kenyir.
Dalam perkembangan sama, Rohaimi berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang hantaran baharu lain di media sosial selepas penyebaran maklumat palsu pada musim bencana baru-baru ini. – UTUSAN