MB Johor: Onn Hafiz angkat sumpah hari ini? - Utusan Malaysia

MB Johor: Onn Hafiz angkat sumpah hari ini?

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nama Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor ke-19 bagi menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hampir pasti mengangkat sumpah jawatan itu, hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, upacara menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan tersebut berkemungkinan berlangsung dalam istiadat di Istana Bukit Serene, di sini.

Onn Hafiz, 44, adalah individu paling hampir dengan spekulasi tersebut kerana beliau merupakan pemimpin muda dan berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika pentadbiran Hasni sejak Mac 2020.

Malah, teka-teki itu semakin terjawab apabila Hasni dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan beliau mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkan mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan itu antara calon muda yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Onn Hafiz sebelum ini merupakan ADUN Layang-Layang yang juga terletak dalam Parlimen Simpang Renggam di Kluang dan beliau merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO pertama, Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

Moyangnya merupakan Menteri Besar Johor ke-7 yang bermula 1 Jun 1947 sehingga 18 Mei 1950.

Onn Hafiz kini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom dan alumni Maktab Tentera Diraja (RMC).

Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sejak 2013 hingga 2018 yang juga bapa saudaranya.

Pelantikan Menteri Besar Johor ke-19 menarik perhatian ramai apabila terdapat nama selain Hasni dipertimbangkan ke jawatan itu, walaupun ADUN Benut itu diumumkan dari awal sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) jika mendapat mandat dalam PRN Johor.

Malah, pendirian itu diulangi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada malam kemenangan dua pertiga BN yang mendapat 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menegaskan hanya akan menyerahkan nama Hasni selaku calon tunggal Menteri Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya