Maritim Kuala Perlis rampas 46 set bubu naga

Maritim Kuala Perlis rampas 46 set bubu naga

SEBANYAK 46 set bubu naga yang merosakkan ekosistem marin dirampas Maritim Malaysia di jeti Zon Maritim Kuala Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Perlis merampas 46 set bubu naga yang berisiko tinggi merosakkan ekosistem marin dan menjejaskan pendapatan nelayan di perairan Kuala Perlis di sini semalam.

Kesemua bubu naga tersebut ditemukan dalam rondaan Op Aman kira-kira 0.6 batu nautika daripada barat pantai Kurong Tengar pada pukul 5.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, dalam rondaan tersebut pihaknya melihat kain-kain berwarna merah yang mencurigakan terapung di permukaan laut.

“Kain itu diikat pada pancang-pancang kayu yang berperanan sebagai penandaan lokasi oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kami memperluaskan kawasan operasi dan menemukan lebih banyak bubu naga.

“Modus operandi aktiviti penangkapan ikan menggunakan alatan tidak dibenarkan kali ini menunjukkan kesemua bubu naga itu diikat secara berangkai dan diletakkan batu bata sebagai pemberat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hashim, setiap bubu naga yang dirampas berukuran 10 meter panjang dan kesemua rampasan bernilai RM3,680 itu dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, penggunaan alat tersebut diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Bubu naga yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan sahaja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malah ia menjejaskan pendapatan nelayan terutamanya nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

“Pemiliknya boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya