PETALING JAYA: Selangor FC memandang serius serangan terhadap Faisal Abdul Halim dan akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sesiapa yang terlibat.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.
“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.
“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata Selangor FC dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pemain sayap Harimau Malaya, disimbah asid hari ini dalam kejadian yang difahamkan berlaku di sebuah pusat membeli belah terkemuka negara.
Gambar yang memaparkan keadaan pemain Selangor FC tidak berbaju dengan mengalami kesan simbahan asid tersebar di media sosial, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Faisal kelihatan mengalami kecederaan di badan , tangan dan muka akibat simbahan itu dan baju yang dipakainya turut kelihatan cair.
Sementara itu, satu sumber polis mengesahkan insiden itu tetapi setakat ini Faisal belum membuat laporan polis.
Difahamkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian.










