Malaysia, Indonesia tandatangan MoU PDI Jumaat ini

Malaysia, Indonesia tandatangan MoU PDI Jumaat ini

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia akan menandatangani Memorandum Persefahaman berhubung Penggajian dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia (MoU PDI) pada 1 April ini. 

Perkara tersebut disahkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang akan menandatangani MoU PDI itu bersama rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah. 

“Justeru, majlis menandatangani MoU PDI pada Jumaat ini adalah satu detik bersejarah yang mana ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang mencerminkan komitmen dan kesepakatan kedua-dua negara dalam melaksanakan MoU ini kelak. 

“MoU PDI ini merintis kepada kemasukan pekerja warga asing dari Indonesia ke dalam sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Saravanan berkata, MoU PDI itu ditandatangani buat kali pertama pada tahun 2006 yang telah tamat tempoh pada tahun 2011 dan kemudian diperbaharui sehingga 2016. 

“Namun selepas tempoh tersebut, MoU PDI ini tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara,” ujarnya. 

Tambah beliau, sehingga Februari lalu, jumlah pekerja warga Indonesia di negara ini adalah seramai 352,469 orang yang terlibat dalam sektor perladangan (98,421), pembinaan (65,660), perkilangan (67,217), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN