BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 30 beg ‘jumbo’ atau beg bersaiz besar mengandungi sisa industri yang cuba dilupuskan secara haram dikesan di kawasan petak sawah padi berhampiran sebuah taman perumahan di Jalan Kubang Semang, di sini, pada 15 Februari lalu.
Ia susulan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas menerima aduan berhubung pembakaran terbuka di kawasan tapak pelupusan sampah haram itu daripada orang awam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sisa industri yang cuba dilupuskan itu termasuk pepejal, binaan dan sisa lain yang disyaki bahan buangan terjadual.
Ketika ini, katanya, kawasan tapak pelupusan sampah haram yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu disita untuk mengelakkan berlakunya pencerobohan manakala sampel buangan yang dijumpai pula dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Lanjutan itu, siasatan dijalankan terhadap beberapa premis yang disyaki terlibat sehingga premis pengeluar bahan buangan itu dikenal pasti.
“Pada masa sama, JAS Pulau Pinang mengenal pasti tuan punya tanah, penyewa serta beberapa pihak lain yang mungkin terlibat dalam kejadian ini dan kesemua mereka telah dipanggil untuk diambil keterangan serta siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, semua sisa yang tercemar dengan buangan terjadual itu dihantar ke tapak pelupusan akhir sisa berjadual di Kualiti Alam Sdn. Bhd. untuk pelupusan manakala untuk buangan sisa pepejal biasa, pemilik tanah diarah melupuskan buangan tersebut di tapak pelupusan Sungai Burung.
Jelasnya, pihak premis juga bersetuju melantik syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. menguruskan semua kerja-kerja pembersihan serta pelupusan buangan itu yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kategori SW204 dan SW408.
“Semua kerja itu bermula hari ini (semalam) dan dijangka selesai dalam masa tujuh hari dengan anggaran awal kos pelupusan RM500,000. Bagaimanapun, kos mungkin meningkat jika lebih banyak buangan dijumpai apabila korekan dibuat,” katanya.
Tambah beliau, susulan insiden itu juga satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 yang membawa hukuman maksimum RM500,000 serta penjara tidak lebih lima tahun serta Seksyen 24B dengan denda maksimum RM100,000 dan/atau lima tahun penjara jika sabit kesalahan. –utusan










