Lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terbakar - Utusan Malaysia

Lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya terbakar akibat hilang kawalan ketika mengelak bertembung dengan motosikal di Kilometer 20 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tu, mangsa berusia 29 tahun hanya cedera ringan di kepala selepas keretanya terbabas melanggar pembahagi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Nasir Drahman berkata, mangsa dikatakan baru pulang daripada makan malam bersama kawan di Sungai Chua menuju balik ke rumah di Semenyih.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah kanan kenderaan.

“Akibatnya mangsa melanggar penghadang jalan dan hilang kawalan lalu bergesel di tembok simen sehingga menyebabkan kereta terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Nasir berkata, pemandu kereta yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Polis masih menyiasat kejadian ini untuk mengetahui punca sebenar kejadian berlaku sama ada terdapat kecuaian daripada mangsa sendiri.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Nasir, sampel darah mangsa dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan alkohol dan dadah.

“Polis menyeru kepada semua pihak terutamanya orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini dan siasatan terperinci akan dijalankan pihak polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini bolehlah menghubungi balai polis berdekatan di Kajang atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN