Lelaki dikhuatiri lemas semasa menjala udang galah - Utusan Malaysia

Lelaki dikhuatiri lemas semasa menjala udang galah

LOKASI mangsa dipercayai lemas di Pulau Pasir, Sungai Perak berhampiran Dataran JPS, Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala udang galah dekat Pulau Pasir, Sungai Perak berhampiran Dataran JPS di sini hari ini.

Kehilangan lelaki berusia 37 tahun itu dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada pukul 2.40 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, berdasarkan saksi iaitu rakan mangsa, dia dan lelaki itu turun ke sungai untuk menjala udang galah di atas tepi beting pasir.

Katanya, ketika kejadian air sedang pasang dan rakan mangsa berada di atas beting pasir pada jarak 50 meter dari tempat mangsa menebar jala.

“Lelaki itu nampak air sungai berada di paras dada mangsa namun dia beranggapan mangsa cuba berendam untuk membasahkan badan kerana cuaca panas.

“Rakan mangsa cuba memanggil dan bertanya kepada mangsa adakah dia selamat, tetapi mangsa tidak menjawab. Tidak lama kemudian, dia terdengar mangsa menjerit meminta bantuan dan melihat tangan mangsa terkapai-kapai,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, rakan mangsa cuba berenang untuk pergi ke tempat mangsa pada jarak 20 meter dan berjaya memegang mangsa dan cuba mengangkatnya ke atas namun gagal kerana tali jala masih terikat di tangan mangsa.

Katanya, keadaan arus air sungai kuat menyebabkan mangsa terlepas daripada pegangan rakannya.

“Rakan mangsa mendapatkan bantuan daripada seorang pekerjanya untuk menghubungi bomba dan polis. Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN