JOHOR BAHRU: Proses mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini berjalan lancar selepas proses pengundian itu bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi.
Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 21 Mei lalu, proses undi awal melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini menyaksikan seramai 12,710 pengundi.
Tinjauan Utusan Malaysia di pusat pengundian awal di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No. 2, IPK Johor mendapati petugas badan beruniform itu telah mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi.
Di lokasi berkenaan, seramai 1,338 pegawai dan anggota akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, termasuk Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.
Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, Polis Johor menggerakkan seramai 3,565 anggota bagi mengawal keselamatan dan kelancaran trafik di sekitar pusat pengundian awal seluruh Johor, sepanjang hari ini.
Pusat mengundi awal yang dibuka bermula pukul 8 pagi tadi akan ditutup secara berperingkat bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, mengikut lokasi ditetapkan.
Untuk rekod, undi awal PRN Johor ke-16 ini menyaksikan seramai 24,751 pengundi yang terdiri daripada 12,710 anggota polis dan 12,041 anggota tentera serta pasangan masing-masing. -UTUSAN










