Lapan kawasan Meru, Kapar banjir kilat - Utusan Malaysia

Lapan kawasan Meru, Kapar banjir kilat

KEADAAN banjir kilat di sekitar Meru dan Kapar di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hujan lebat berterusan selama beberapa jam mengakibatkan lapan kawasan di sekitar Meru dan Kapar di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.

Kejadian bermula kira-kira pukul 3 petang itu melibatkan Jalan Meru, Jalan Teratai, Jalan Cempaka, Jalan Paip dan Jalan Sesenduk selain pekan Kapar, Taman Meru Daya dan Persiaran Hamzah Alang.

Selain kediaman penduduk, paras air hampir 0.5 meter itu memasuki asrama perempuan sebuah kilang namun tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 3.25 petang.

Kata beliau, pihaknya menerusi pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah dalam operasi pemantauan banjir berkenaan.

“Pemeriksaan ketika itu mendapati hujan lebat di semua lokasi berkenaan dan air naik sehingga paras betis. Situasi bagaimanapun masih terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Jelas Norazam, selain jalan, rumah penduduk dan asrama sebuah kilang terkemuka turut dinaiki air.

Tambah beliau, pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan akan menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tersebut.

Dalam pada itu, keadaan lalu lintas berdekatan sebuah pusat beli-belah di Jalan Meru mengalami kesesakan teruk akibat turut dinaiki air.

Difahamkan, sebuah kenderaan orang awam turut terperangkap dalam banjir itu dan kawasan berkenaan tidak boleh dilalui setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN