JOHOR BAHRU: Pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar merupakan kegagalan pertama Barisan Nasional (BN) sejurus memegang kuasa kerana tidak mengotakan janji mereka kepada rakyat.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, permulaan kuasa dengan ‘mungkir janji’ bakal menyaksikan lebih banyak siri-siri mungkir janji pada masa akan datang yang tidak mustahil akan berlaku.
“Semasa berkempen, Presiden UMNO, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi umumkan pada rakyat bahawa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bakal dinobatkan sebagai Menteri Besar Johor sekiranya mereka berjaya. Namun, ia tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam. Turut hadir, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor.
Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.
Selain itu, Sheikh Umar berkata, Onn Hafiz juga adalah saksi pendakwaan ke-16 dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak yang berhadapan pertuduhan jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International.
“Dalam keterangan, Onn Hafiz mengakui Najib memberikan RM240,000 kepada syarikat beliau iaitu Vital Spire Sdn. Bhd. untuk menguruskan portal Malaysian Digest, sebuah portal yang memiliki unsur politik.
“Semalam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, saya terlihat satu kain pemidang warna biru milik BN yang masih belum diturunkan yang tertulis ‘The legend legacy is back’.
“Nampaknya semakin jelas. Selepas menang Melaka dan Johor, legasi itu semakin menghampiri kita semula. Selepas naik Onn Hafiz, legasi Najib, rasuah dan salah guna kuasa bakal kembali,” katanya. – UTUSAN










