KPWKM sokong beku akaun - Rina

KPWKM sokong beku akaun – Rina

RINA Harun (tengah) bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MDC, Dr. Aslan Bacho (lima dari kiri) merasmikan pelancaran wajah baharu hospital MDC Pusrawi, Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong penuh tindakan untuk membeku akaun lelaki yang enggan membayar nafkah kepada bekas isteri.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pengumuman yang sangat baik itu perlu diberi sokongan bagi membina kesejahteraan wanita di dalam negara dan tidak mengetepikan hak mereka.

Menurut beliau, terdapat pelbagai kes pihak lelaki enggan membayar nafkah walaupun sudah mendapat perintah mahkamah, jadi dengan pembekuan akaun itu akan membolehkan majikan membayar secara terus kepada bekas isteri.

“Bagi memastikan pelaksanaan itu terjamin dan secara berkesan, KPWKM akan bekerjasama dengan kementerian lain serta agensi berkaitan kerana ia melibatkan pelbagai aspek yang perlu diambil kira untuk menjayakan perkara tersebut.

“Selain itu, kebenaran bagi golongan wanita kehilangan suami untuk boleh bekerja adalah satu keputusan yang baik kerana walaupun mereka berada dalam keadaan masih beridah, masih dapat menyelesaikan urusan tergendala. Pandemik membukti kan kita boleh bekerja dari rumah,” katanya semasa sidang media perasmian pelancaran wajah baharu hospital MDC Pusrawi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan membekukan akaun bank bekas suami jika mereka enggan melunaskan pembayaraan nafkah kepada bekas isteri mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut mengucapkan tahniah kepada MDC Asia Bhd. atas pelancaran wajah baharu bagi hospital bersalin dan poliklinik MDC Pusrawi, cawangan di Kota Damansara itu.

Jelasnya, beliau optimis penjenamaan semula dengan wajah baharu hospital itu akan memberi nafas baharu kepada pihak pengurusan yang menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan, dengan kemudahan infrastruktur moden untuk para pelanggan khususnya kepada ibu-ibu dan anak-anak yang akan mendapatkan perkhidmatan di hospital tersebut.

“Hospital MDC Pusrawi juga akan menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin. Ini merupakan inisiatif dan nilai tambah yang harus dipuji kerana perkhidmatan ini amat jarang ditawarkan di mana-mana hospital di negara ini.

“Oleh itu, saya berharap dengan pelancaran ini ia akan menjadi batu loncatan ke arah pembukaan lebih banyak cawangan MDC Pusrawi berkonsepkan hospital Ibu & Anak di seluruh negara pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN