KPKT komited pastikan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025

[Parlimen] KPKT komited pastikan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025

RUMAH mampu milik perlu ditingkatkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaporan Kluster Perumahan RMK-12 bagi memastikan pelaksanaan penyediaan 500,000 buah rumah mampu milik dapat dicapai menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, strategi pelaksanaan ini akan melibatkan KPKT sebagai penyelaras utama kepada 15 Kementerian atau Agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta. 

“Sehingga kini, terdapat 154 projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah siap dibina merangkumi 97,196 unit kediaman di seluruh negara. Bagi tahun 2022, sebanyak 7 projek PPR dirancang untuk dibina di seluruh negara merangkumi 2,770 unit rumah.

“Kerajaan juga komited untuk meneruskan Program RMR (Rumah Mesra Rakyat) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang juga terbukti memberi manfaat perumahan khusus kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga,” katanya.

Reezal Merican berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai kejayaan KPKT menyediakan projek perumahan mampu milik.

Menurut Reezal Merican, sehingga kini, sebanyak 50,078 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.

Selain itu katanya, kerajaan akan meneruskan program perumahan sedia ada bagi golongan M40 melalui program RMM dengan harga jualan RM300,000 dan ke bawah seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), PR1MA dan Kediaman SPNB yang memberi manfaat kepada golongan M40.

“Setakat ini, terdapat 24,903 unit PPAM, 27,821 unit perumahan PR1MA dan 28,305 unit Kediaman SPNB telah siap dibina di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN