JOHOR BAHRU: Sepanjang tempoh 22 tahun, kira-kira 500 keluarga di Taman Sinaran Kempas di sini terpaksa menahan hidup dengan bau busuk walaupun dalam rumah sendiri akibat kerosakan loji kumbahan di kawasan perumahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas, Mohd. Nassir Ahmad berkata, masalah penduduk di kawasan berkenaan sudah berlarutan sejak tahun 2000.
Katanya, loji kumbahan itu mula mengalami kerosakan dan tidak lagi berfungsi sejak penduduk dipindahkan ke kawasan berkenaan.
“Awalnya penduduk bersetuju untuk mengumpul duit bagi menampung kerosakan loji kumbahan berkenaan, namun perkara itu hanya bertahan sehingga tempoh tiga tahun.
“Loji kumbahan berkenaan terlalu kerap mengalami kerosakan sehingga penduduk putus asa dan tidak mahu lagi meneruskan kutipan wang bagi menyelenggara loji kumbahan tersebut.
“Sejak daripada itu, semua rumah di kawasan perumahan ini berbau busuk lebih-lebih lagi selepas hujan turun, bau busuk berkenaan datang dari tandas kerana aliran yang tidak dapat mengalir terus ke loji kerana sistem loji kumbahan osak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.
Menurut Mohd. Nassir, perumahan berkenaan adalah kediaman transit yang dibangunkan atas tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk penduduk setinggan tepi rel kereta api yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
“Rumah, fasiliti dan kemudahan yang dibangunkan diserahkan terus kepada komuniti penduduk sebaik sahaja penduduk berpindah. Jadi penyelenggaraan loji kumbahan ini tidak berada di bawah tanggungjawab mana-mana pihak.
“Namun, penduduk juga tidak mempunyai dana untuk membaiki dan menyelenggara loji kumbanan kerana memerlukan kos besar. Sekarang, loji ini langsung tidak berfungsi manakala kawasan sekitarnya sudah ditutup dengan rumput dan lalang,” ujarnya.
Diajukan
Mohd. Nassir juga memberitahu, permasalahan dihadapi mereka telah diajukan kepada pelbagai pihak termasuklah kerajaan negeri dan pusat.
“Namun akibat pertukaran kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu, masalah ini masih lagi berlarutan dan gagal diselesaikan mana-mana pihak.
“Kami sudah buat aduan dan surat meminta bantuan daripada kerajaan negeri dan juga kementerian berkaitan mengenai masalah ini juga telah dihantar, tetapi tiada tindakan lanjut.
“Sehubungan itu, kami memohon bantuan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk perumahan ini kerana penduduk sudah tidak dapat menanggung lagi bau busuk,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz memaklumkan pihaknya sudah membuat lawatan ke loji kumbahan berkenaan dan akan membawa perkara tersebut kepada agensi kerajaan negeri berkaitan. – UTUSAN