JELEBU: Koperasi-koperasi di negara ini yang terlibat dalam bidang ternakan diminta mewujudkan sistem ladang kontrak sebagai usaha membantu orang ramai memperoleh barangan mentah seperti ayam dan telur dengan harga lebih rendah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, menerusi kewujudan ladang kontrak itu, ia mendorong koperasi-koperasi terlibat untuk menyediakan ruang pasaran mereka sendiri serta pusat pengumpulan hasil ternakan tersebut.
“Kita harap dapat memainkan peranan dan sedang berusaha untuk menyediakan pasaran kita sendiri. Kita akan wujudkan pusat pengumpulan dan buat ladang kontrak dengan koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti-aktiviti penternakan.
“Ada koperasi yang menjalankan penternakan ayam dan mempunyai 50,000 ekor ayam, mereka telah berjaya wujudkan sistem ladang kontrak, dan boleh jual ayam pada harga RM5 seekor. Menerusi sistem ladang kontrak ini, kita dapat memperoleh bekalan secara terus dari penternak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Pusat Khidmat Jelebu, Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang di sini, hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.
Pada majlis tersebut turut diadakan Program Jualan Harga Patut Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan asas pada harga berpatutan kepada penduduk Jelebu sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan.
Noh turut menyampaikan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) melalui Tekun Nasional (Tekun) kepada 359 usahawan di seluruh Negeri Sembilan termasuk 91 usahawan di daerah ini.
Turut disampaikan, bantuan-bantuan dan pembiayaan lain yang disediakan agensi di bawah kementerian kepada usahawan dan koperasi di negeri ini termasuk Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dan geran Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP).
“Semoga segala program dan bantuan yang disampaikan ini akan memberi manfaat kepada usahawan dan koperasi di Negeri Sembilan bagi menjana pendapatan semula selepas terjejas daripada Covid-19 dan juga bencana banjir,” tambah beliau. – UTUSAN










