Selangor enggan berputih mata di Kota Bharu

Selangor enggan berputih mata di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC tekad memastikan tiga mata menjadi keutamaan apabila bakal turun dalam aksi liga super menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV,Kota Bharu, malam ini.

Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menegaskan , kekalahan kepada Kuching City dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia tempoh hari sedikit sebanyak memberi kesan kepada moral pasukan, namun ia adalah lumrah dalam saingan kompetitif yang perlu diterima dengan hati terbuka.

“Dalam bola sepak, kalah dan menang adalah perkara biasa. Apa yang penting, pemain perlu menilai semula kelemahan sama ada secara individu mahupun berpasukan untuk kembali lebih kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mahfizul menjelaskan, persiapan rapi telah diatur bagi menghadapi Kelantan dengan misi memastikan kemenangan dalam kempen liga musim ini bagi mengejar kedudukan kedua liga.

Tambahnya, SFC tidak mahu mensia-siakan baki perlawanan dan akan berusaha keras untuk menamatkan saingan Liga Super musim 2025/2026 di kedudukan terbaik.

“Setiap perlawanan selepas ini amat penting. Kita sudah merancang persediaan sebaik mungkin dan pemain juga menunjukkan komitmen tinggi untuk bangkit,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pasukan perlu bijak mengimbangi jadual padat memandangkan SFC masih mempunyai cabaran dalam saingan Piala Shopee.

Aksi separuh akhir pertama dijadual berlangsung di Stadium MBPJ pada 6 Mei, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan optimum daripada seluruh pasukan.

“Fokus kita bukan sahaja liga, tetapi juga Piala Shopee. Jadi pengurusan tenaga dan kecergasan pemain menjadi keutamaan,” katanya.

Dengan misi kebangkitan semakin membara, pertembungan menentang Kelantan dilihat sebagai medan terbaik buat Selangor membuktikan mereka masih pencabar utama musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN