JAKARTA: Russia telah bersetuju untuk membekalkan Indonesia sehingga 150 juta tong minyak susulan lawatan Presiden Prabowo Subianto ke Moscow baru-baru ini, kata Utusan Khas Tenaga dan Alam Sekitar, Hashim Djojohadikusumo pada Khamis.
Menurut setiausaha kabinet Teddy Indra Wijaya dalam satu kenyataan, Prabowo bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin di Kremlin minggu lalu, di mana mereka membincangkan pengukuhan kerjasama strategik termasuk dalam sektor tenaga..
Seperti kebanyakan negara lain, Indonesia berdepan tekanan akibat kenaikan harga minyak global susulan perang di Asia Barat dan sedang berusaha mendapatkan pembekal alternatif.
Kira-kira 20 hingga 25 peratus import minyak mentah Indonesia datang dari Asia Barat dan melalui laluan penting Selat Hormuz.
“Indonesia kini telah memperoleh komitmen daripada kerajaan Russia. Kita boleh menyimpan 150 juta tong di Indonesia bagi menangani isu ketidaktentuan ekonomi,” lapor agensi berita negara Antara memetik Hashim, yang juga adik kepada Prabowo.
Beliau berkata, Russia bersetuju membekalkan 100 juta tong minyak kepada Indonesia pada harga istimewa dan tambahan 50 juta tong jika diperlukan kemudian.
Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara yang memberi subsidi besar kepada bahan api, merupakan pengeluar minyak tetapi masih merupakan pengimport bersih.
Negara kepulauan itu menggunakan kira-kira 1.6 juta tong bahan api sehari dan menghasilkan sekitar 600,000 tong sehari, menurut Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia.
Kerajaan mengumumkan catuan bahan api bulan lalu dan mewajibkan dasar kerja dari rumah satu hari seminggu bagi penjawat awam untuk menjimatkan bekalan tenaga.
Ia juga berikrar tidak akan menaikkan harga bahan api bersubsidi tahun ini. – AFP










