PETALING JAYA: Ruang rundingan yang dibuka oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dilihat membuka peluang penyelesaian bagi peminjam selain pendekatan ini dilihat lebih inklusif berikutan ramai peminjam berada dalam tekanan ekonomi ekoran keadaan semasa.
Menurut pekerja swasta yang juga merupakan peminjam pinjaman Mara, Nurul Afiqah Nazri, 24, berkata, pendekatan ini dilihat berasaskan empati berikutan ramai peminjam berada dalam tekanan ekoran ekonomi yang tidak stabil.
Katanya, langkah ini membuka peluang kepada penyelesaian selain turut dapat mengurangkan tekanan berikutan terbeban dengan hutang yang perlu dibayar.
“Ia memberikan ruang dan peluang untuk menyelesaikan masalah selain turut mampu mengurangkan tekanan psikologi yang ditanggung peminjam berikutan tidak mampu membayar hutang kerana bebanan kerja.
“Selain itu, ia memberi nafas baru kepada peminjam untuk menyuarakan masalah yang dihadapi sekali gus pihak Mara dapat memberi bantuan dan mengisi kelompongan sekiranya memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mara akan membuka sesi khas “Peace Of Mind” kepada penghutang yang berdepan masalah kewangan selain turut memberi peluang kepada golongan terbabit hadir bersemuka dengan Mara bagi membincangkan jalan penyelesaian yang lebih sesuai dengan kemampuan masing-masing.
Sementara itu peniaga, Afidah Alias, 53, berkata, komitmen bayaran balik pinjaman semakin berat berikutan kenaikan harga barang justeru rundingan dilihat peluang terbaik untuk menjelaskan situasi sebenar dihadapi dan mencari penyelesaian adil.
“Inisiatif ini membuka ruang dua belah pihak untuk berbincang selain mencari jalan yang lebih fleksibel seperti penangguhan sementara bayaran atau penjadualan sementara yang amat diperlukan khususnya buat peniaga,’ katanya.
Bagi guru tuisyen sementara, Puteri Aida berkata, ia juga turut membuka ruang perbincangan untuk hal-hal yang berbangkit seperti penjamin yang telah disenarai hitam berikutan kegagalan peminjam utama melunaskan hutang.
“Perkara ini dilihat bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah hutang peminjam namun ia juga turut menyelesaikan masalah lain yang wajar dipertimbangkan seperti status penjamin yang disenarai hitam akibat peminjam utama tidak bayar hutang,” katanya. – UTUSAN









