Kes pemerasan online libatkan penyebaran gambar bogel meningkat - Utusan Malaysia

Kes pemerasan online libatkan penyebaran gambar bogel meningkat

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada anggota polis pada sambutan Hari Polis ke-215 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menerima 108 kes pemerasan dalam talian menyebarkan gambar bogel melibatkan kerugian mencecah RM589,685 sepanjang 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mangsa kes jenayah itu membabitkan lelaki berusia 13 hingga 64 tahun dan sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 39 individu ditahan serta 15 kes telah berjaya diselesaikan.

“Pada 2021, terdapat peningkatan drastik kes pemerasan dalam talian menyebarkan gambar bogel di mana sebanyak 80 kes dicatatkan dengan kerugian RM404,335 berbanding 2020 iaitu 17 kes dengan jumlah kerugian RM76,300. Seramai 30 suspek ditahan pada 2021 dengan lapan kes selesai manakala pada 2020 pula lapan individu ditangkap dengan enam kes selesai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Polis ke-215 dan Soft Launching Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride di pekarangan IPD Timur Laut.

Menurut Mohd. Shuhaily, pada Januari hingga Februari tahun ini sahaja terdapat 11 kes dilaporkan melibatkan kes pemerasan dalam talian menyebarkan gambar bogel membabitkan kerugian RM109,050.

“Terdapat satu kes pada tahun lalu yang membawa kepada insiden bunuh diri kerana mangsa berasa takut perkara ini (video bogel) tersebar kepada masyarakat awam. Jenayah ini amat berbahaya jadi kita harap ibu bapa dapat memantau anak-anak mereka daripada menggunakan telefon pintar. Phak polis mengingatkan mereka yang menggunakan media sosial lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa jenayah kekerasan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihak polis memandang serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu di negeri ini.

Katanya, sebanyak 463 kes samun dilaporkan sepanjang tahun lalu dengan 100 daripadanya adalah laporan palsu termasuk kes seorang remaja berusia 17 tahun yang mendakwa dia disamun dan dirogol.

“Remaja ini telah hamil dan kerana takut dimarahi oleh keluarga dia bertindak membuat laporan palsu kepada pihak polis kononnya disamun dan dirogol. Selain daripada kes itu, polis turut menerima laporan palsu antaranya melibatkan kehilangan kad pengenalan (74); salah guna wang (8); mengelak bayar hutang (4); kehilangan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) (5); terlibat pergaduhan (3) dan masing-masing dua kes ponteng kerja dan tuntutan insurans,” jelasnya.

Tambahnya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihak polis turut menerima 11 kes laporan palsu melibatkan samun dan laporan palsu sebegitu membuang masa dan tenaga pihak polis.

“Mereka yang didapati membuat laporan palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya