PETALING JAYA: Kertas siasatan kemalangan membabitkan empat sekeluarga maut di Lebuhraya Sultan Iskandar dekat sini, Ahad lalu dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya esok bagi arahan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, setakat ini polis mengambil keterangan pemandu Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kita juga menjalankan saringan air kencing terhadap pemandu berusia 27 tahun itu dan didapati negatif penyalahgunaan dadah.
“Kita tidak menahan lelaki itu kerana mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan menggunakan pendakap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, polis telah mengenal pasti punca kejadian namun tidak dapat didedahkan.
Ahad lalu, empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar.
Dalam kejadian 10.40 pagi itu, mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux yang hilang kawalan.
Mangsa yang meninggal dunia ialah P. Milan Damani, 32, C. Thinisha, 31 dan dua kanak-kanak lelaki iaitu D. Ishaan Ivaan, 3, serta D. Rihaan Ivaan, 4. – UTUSAN