Tiada 'abang besar' dalam menghadapi PRN Johor

Tiada ‘abang besar’ dalam menghadapi PRN Johor

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiada mana-mana parti gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) menjadi ‘abang besar’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, sekiranya BN dan UMNO Johor perlu membuat keputusan untuk bekerjasama dalam PRN Johor akan datang, kerjasama perlu dibuat atas semangat kerajaan perpaduan.

Menurut beliau, pihaknya akan menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ daripada mana-mana parti, sama ada dalam PH mahupun BN.

“Rundingan kerusi, strategi kempen dan pembahagian tanggungjawab harus dilaksanakan dengan mengambil kira kekuatan serta sumbangan setiap parti, bukan berdasarkan kedudukan sejarah atau jumlah kerusi semata-mata.

“Walaupun PH tidak berada dalam kerajaan Johor tetapi peranan PH selaku tunggak utama kerajaan perpaduan banyak membantu Johor dalam menjana ekonomi yang lebih mampan termasuklah menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas (SFZ) dan juga Landasan Berkembar Gemas-JB,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga percaya kewujudan kerajaan perpaduan yang kukuh di peringkat negeri hanya boleh dicapai melalui semangat muafakat tulen dan perundingan yang adil. 

“Semua rakan gabungan perlu menghormati pandangan satu sama lain, kerana rakyat Johor mengharapkan kepimpinan yang bersatu, bukannya pertikaian dalaman yang mencetuskan persepsi negatif.

“Sehubungan itu, Amanah Johor menyeru perbincangan agihan kerusi dilakukan lebih awal dengan penuh ketelusan bagi mengelak salah faham dan menekankan usaha mempertahan kestabilan politik negeri serta kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya lanjut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN