Sewa tapak mahal, peniaga Pantai Puteri terbeban

Sewa tapak mahal, peniaga Pantai Puteri terbeban

MOHD. NIZAM Ithnin (duduk, kiri) bersama peguam persatuan, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (duduk, tengah) menunjukkan notis penyusunan peniaga sepanjang Jalan Pantai Puteri daripada MBMB ketika sidang akhbar di Klebang, Melaka. - UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 92 peniaga kecil di Pantai Puteri di sini mendesak proses perpindahan ke tapak sementara termasuk pemilihan penganjur dibuat secara telus.

Menurut mereka, ia termasuklah menerusi perbincangan bersama Persatuan Peniaga Pantai Puteri Melaka (PPPPM).

Pengerusinya, Mohd. Nizam Ithnin berkata, kesemua peniaga akur untuk berpindah demi keselamatan dan kelestarian kawasan pantai namun segala keputusan dilihat hanya melibatkan sebelah pihak.

Katanya, persatuan telah menghantar surat masing-masing kepada bahagian perlesenan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Melaka, Datuk Rais Yasin pada 25 Julai dan 9 Ogos lalu tetapi masih belum mendapat maklum balas.

“Persatuan juga masih menunggu tarikh untuk berbincang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi@Mohd. Pada masa sama ada peniaga telah digertak oleh pihak penganjur yang dilantik yang mana tindakan tegas akan diambil jika tidak keluar dan mendaftar bersama mereka.

“Kami seolah-olah dipaksa turuti apa sahaja keputusan yang dibuat tanpa diberi peluang untuk menyuarakan keresahan para peniaga,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tambah Mohd. Nizam, MBMB turut melantik sebuah syarikat swasta selaku penganjur di tapak sementara tersebut.

Menurutnya, PPPPM sebagai persatuan yang sah dan berdaftar tidak pernah dipanggil berbincang atau diberi pilihan lain.

“Kadar sewa tapak yang dikenakan sangat membebankan apabila tapak khemah berukuran 10×10 kaki dikenakan RM200 sebulan termasuk yang menggunakan kabin sendiri. Peniaga dikehendaki memotong kabin jika panjang melebihi enam kaki.

“Bayaran RM5 sehari untuk penggunaan elektrik. Secara keseluruhan peniaga menanggung antara RM250 hingga RM350 sebulan walaupun kabin adalah hak milik sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Nizam berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula syarat dan caj dikenakan, memberi peluang kepada pihak persatuan menjadi penganjur rasmi dan lesen perniagaan diberikan dengan kadar segera. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN